Jumlah Paparan Halaman

Ahad, 23 Januari 2011

Kata-Kata Aluan Pengerusi Surau 2011/2013

Assalamualaikum,

Terima kasih kerana saudara dan saudari sudi menjengok ke blog rasmi Surau Taman Pulai Impian. Blog ini akan menjadi satu mekanisma perhubungan dua hala di antara AJK Surau dan seluruh kariah taman khususnya yang beragama Islam. Seringkali komunikasi terbatas oleh beberapa lingkungan kekangan seperti keterbatasan masa dan kekurangan peluang untuk kita berhubung. Lantas AJK telah menyediakan satu medium untuk kita terus dan terus berhubung demi mengukuhkan silaturrahim dan memartabatkan keindahan rumah Allah ini. Aspirasi kami adalah untuk menjadikan model pengurusan surau ini ke satu tahap yang amat membanggakan dan mampu menjadi contoh kepada surau-surau lain khususnya di sekitar Seremban, dan umumnya seluruh negara. Usaha kami akan bermakna jika mendapat sokongan mantap sepenuhnya dari seluruh kariah ini.

Pihak surau juga masih mengalu-alukan sebarang bentuk derma dalam memantapkan lagi perjalanan Surau Impian ini. AJK 2011/2013 yang dipilih baru-baru ini mempunyai perancangan jangka panjang iaitu untuk menyudahkan bahagian belakang surau yang hampir enam (6) bulan tertangguh kerana kekurangan dana. AJK juga merancang untuk membina sebuah setor, bilik kuliah, dan bilik mesyuarat pengurusan. Keseluruhan pembangunan ini menelan belanja hampir RM150 ribu. Justeru dermawan yang budiman amat perlu sebagai rakan kongsi Surau Impian di dunia dan akhirat. Sementara pelan jangka pendek Surau Impian adalah untuk memenuhkan aktiviti ilmiah dan kemasyarakatan surau.

Kejayaan Majlis Korban 2010 juga mendorong Surau Impian untuk mengadakan Majlis Korban Perdana pada tahun 2011. Surau Impian telah mebentuk AJK khusus untuk menjayakan program ini. Penyertaan saudara dan saudari adalah titik mula kejayaan kami. Malah setiap usaha kami menuntut penyertaan saudara dan saudari. Jadi, sama-samalah kita saling menyokong untuk menjadikan Surau Impian model Surau 1Malaysia.

Sekian, semoga dengan kehadiran blog ini, surau kita bertambah meriah.

Dr. Mohd Aris Othman
Pengerusi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan