Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 23 Februari 2011

JEMPUTAN MENYERTAI MAJLIS KORBAN PERDANA 2011

Assalamualaikum.

1. Untuk makluman semua penduduk Muslim Taman Pulai Impian, adalah dimaklumkan Jawatankuasa Surau Impian akan mengadakan majlis Korban Perdana pada tahun 2011. Majlis tersebut direncanakan akan diadakan pada Hari Raya Korban Pertama selepas selesai Solat Sunat Aidul Adha. Jawatankuasa meletakkan sasaran 8 ekor lembu akan dikorbankan pada tahun ini.

2. Untuk itu, tuan-tuan dan puan-puan adalah dijemput untuk menyertai majlis tersebut sebagai peserta. Bayaran yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa adalah sebanyak RM400/bahagian.

3. Untuk memudahkan bayaran dan tidak membebankan peserta korban, Jawatankuasa telah bersetuju untuk membuat pungutan secara berkala dengan bayaran minimum sebanyak RM50 sebulan.  Peserta juga boleh membuat bayaran secara tunai mengikut bahagian. Bayaran pertama akan dibuat pada akhir Februari 2011 dan bayaran terakhir pada Oktober 2011.

4. Nama-nama peserta yang akan mengambil bahagian akan disiarkan dalam blog ini setiap bulan.

5. Bagi yang berminat sila hubungi Mej. Ibrahim (013-3479335), Mr. Azman (012-6106378) atau Mr. Kamaruddin Amat ( 019-2429836). Penyertaan akan ditutup sekiranya sasaran telah dipenuhi.

6. Pengerusi dan AJK Surau Impian merakamkan tahniah dan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sudi mendaftar nama sebagai peserta Korban Perdana Surau Impian 2011. Jadi, marilah kita sama-sama berlumba-lumba untuk mendaftarkan nama sebagai peserta Korban Perdana 2011. Insyaallah, perlumbaan untuk melakukan ibadah ini akan mendapat rahmat yang berganda dari Allah.

Sekian, terima kasih.

Isnin, 21 Februari 2011

MOHD YUSOP JIDIN DALAM KENANGAN

Sepanjang minggu ini pelbagai acara mewarnai Surau Impian. Antara yang menarik perhatian adalah tempoh masa menyiapkan laluan pejalan kaki yang dipanggil "PATH TO HEAVEN". Hanya tempoh 4 jam diperlukan oleh Mr. Hanif dan rakan-rakan terutamanya anggota KRT untuk menyiapkan laluan tersebut. Perkara kedua adalah pertandingan karom dan congkak yang berlangsung gilang-gemilang dan pusingan penentuan diperlukan untuk menentukan pemenang tempat kedua hingga keempat. Mr. Jumari , Mr. Radzi dan Mr. Romy tetap tenang mengendalikan kedua-dua pertandingan tersebut. Perkara paling menggemparkan adalah pemergian En. Mohd Yusop bin Jidin, untuk pergi mengadap Ilahi.

En. Mohd Yusop bin Jidin (1968 - 2011), adalah seorang yang bersikap lemah lembut. Begitu berhati-hati apabila menuturkan kata-kata. Memiliki muka yang bercahaya dan sentiasa tenang dalam geraklaku beliau.
Kali pertama saya menjadi rapat dengan allahyarham adalah ketika bermain bowling bersama Mr. Jumari. Sikap lemah-lembut beliau terserlah dalam permainan tersebut. Sekalipun bola yang dibaling meluncur ke longkang lorong, beliau hanya tersenyum. Tidak terhambur sepatahpun kata-kata yang tidak sedap untuk didengar. Cara beliau bersalam memberi satu sentuhan yang benar-benar ikhlas. Melalui genggaman tangan beliau kita pasti terasa keikhlasannya. Saya percaya beliau adalah orang yang paling ikhlas yang pernah saya temui.

Pada jam 6.45 pagi 21 Februari 2011 allahyarham telah pergi meninggalkan kita semua untuk menemui Penciptanya akibat kemalangan jalanraya. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga (3) orang anak yang masih bersekolah rendah. Sesungguhnya tidak ada satu kuasa yang dapat menghalang pemergian ini walaupun sedetik. Yang ada pada kita adalah amanah yang perlu kita sempurnakan. Kita telah berjaya melaksanakan amanah ini dengan jayanya. Tepat pada jam 4.00 petang, jenazah beliau selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Jelai 2.

Pengerusi surau merakamkan tahziah kepada seluruh keluarga beliau. Pengerusi dan seluruh AJK surau merakamkan penghargaan kepada Biro Kebajikan di bawah pimpinan Mej. Ibrahim Abu Bakar yang sentiasa berada dari tempat kejadian hinggalah jezanah dikebumikan. Pengerusi dan seluruh AJK juga merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua individu yang terlibat sama ada dari kariah, jiran-jiran terdekat, JPA3, Saksi, PDRM, Hospital Tuanku Jaafar, UKM, Penduduk Jelai 2, dan semua yang dengan ikhlas terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyempurnakan jenazah beliau.

Sesungguhnya pemergian Mohd Yusop bin Jidin adalah satu dugaan ALLAH dan menjadi satu proses kepada Komuniti Surau Impian untuk memantapkan lagi silaturrahim yang telah sedia terjalin. Surau Impian akan mengadakan majlis tahlil untuk allahyarham pada 21, 22, dan 23 Februari 2011 selepas solat Maghrib. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan dan nama Mohd Yusop bin Jidin akan tercatat sebagai salah seorang ahli Jannah.

AL-FATIHAH BUAT MOHD YUSOP BIN JIDIN
29 DIS. 1968 - 21 FEB. 2011

Isnin, 14 Februari 2011

PERARAKKAN MAULIDUR RASUL 2011

Pengerusi dan AJK Surau Impian merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi turut serta dalam perarakan Maulidur Rasul pada tahun ini yang diadakan pada 15 Februari 2011 dari jam 7.30 pagi hingga jam 9.00 pagi. Berkat kerjasama kita semua majlis ini telah berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Surau Impian juga merakamkan jutaan penghargaan kepada IPK Negeri Sembilan, SRS Taman Pulai Impian, Pengawal Keselamatan Pulai Villa, Penduduk Bukan Islam Taman Pulai Impian dan Pulai Villa, dan seluruh individu yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Surau Impian juga merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penderma (jamuan dan kewangan) yang sesungguhnya telah membuatkan majlis ini begitu bermakna. Semoga sumbangan kalian semua mendapat balasan yang berganda dari ALLAH.

Ahad, 13 Februari 2011

GAMBAR GOTONG ROYONG


Pengerusi Khusyuk Meracun

Anak kelapa sumbangan jemaah

En. Ishak- makan selepas penat bekerja

Juharlizam, Zahari, Radzi...membersih kaki lima dan longkang

Ust. Mat Jusuh...final supervision

Mejar Ibrahim...beres tuan

Dr. Zainal, LalDin, Zack and Hamidi...the herb expert

A Group of professional cleaners

Penyemburan pertama

The most experience group

Penasihat..mencari kesesuaian tanah

SU...thinking and working

Pengerusi dan AJK Surau merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Maaf sekiranya wajah anda tidak tertera dalam blog ini, sesungguhnya wajah-wajah anda akan sentiasa ada dalam setiap hati kami.

Khamis, 3 Februari 2011

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432 HIJRAH

Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.

Nabi Muhammad s.a.w itu sesungguhnya adalah kekasih Allah. Baginda menjadi manusia yang paling sempurna dan menjadi ikutan lebih daripada separuh populasi bumi. Lantaran mengagungkan kesempurnaan dan anugerah Allah itu, Surau Impian telah merancang satu program sempena memperingati hari lahir Baginda. Aktiviti yang dirancang tersebut dibahagikan kepada dua (2) bahagian. Bahagian pertama akan diadakan pada 15 Februari 2011. Aktiviti yang dirancang pada 15 Februari 2011 adalah seperti di bawah.

7.30 Pagi - Berkumpul di Perkarangan Surau
8.00 Pagi - Perarakan Maulidur Rasul & Selawat
9.00 Pagi - Jamuan Makan
7.45 Mlm - Tahlil , Selawat & Berzanji
9.00 Mlm - Mesyuarat Agung Khas
                - Pelancaran Blog Rasmi
                - Bersurai

Bagi memeriahkan lagi majlis ini dan memberi nilai tambah keilmuan selari dengan kehendak pembangunan modal insan, Surau Impian telah merancang untuk mengisi Majlis Sambutan Maulidur Rasul ini dengan satu majlis ilmu. Bahagian kedua majlis ini akan diadakan pada 19 Februari 2011. Aturcara majlis adalah seperti berikut:

7.45 Mlm - Ceramah Maulidur Rasul bersama Ust. Hamdan.

Pengerusi dan AJK Surau amat memerlukan dan mengharapkan penyerta tuan-tuan dan puan-puan serta keluarga dalam memeriahkan majlis ini. Kejayaan majlis ini adalah kejayaan kita bersama dan kemeriahan majlis ini bakal menjadi memori indah kita bersama. Jadi, dalam beribadah kita turut mencipta memori, memori yang bakal kita ceritakan pada generasi akan datang. Moga cerita tersebut menjadi panduan di dekad hadapan dalam membentuk warga Muslim yang ampuh.

Sekian. Terima kasih