Jumlah Paparan Halaman

Isnin, 21 Februari 2011

MOHD YUSOP JIDIN DALAM KENANGAN

Sepanjang minggu ini pelbagai acara mewarnai Surau Impian. Antara yang menarik perhatian adalah tempoh masa menyiapkan laluan pejalan kaki yang dipanggil "PATH TO HEAVEN". Hanya tempoh 4 jam diperlukan oleh Mr. Hanif dan rakan-rakan terutamanya anggota KRT untuk menyiapkan laluan tersebut. Perkara kedua adalah pertandingan karom dan congkak yang berlangsung gilang-gemilang dan pusingan penentuan diperlukan untuk menentukan pemenang tempat kedua hingga keempat. Mr. Jumari , Mr. Radzi dan Mr. Romy tetap tenang mengendalikan kedua-dua pertandingan tersebut. Perkara paling menggemparkan adalah pemergian En. Mohd Yusop bin Jidin, untuk pergi mengadap Ilahi.

En. Mohd Yusop bin Jidin (1968 - 2011), adalah seorang yang bersikap lemah lembut. Begitu berhati-hati apabila menuturkan kata-kata. Memiliki muka yang bercahaya dan sentiasa tenang dalam geraklaku beliau.
Kali pertama saya menjadi rapat dengan allahyarham adalah ketika bermain bowling bersama Mr. Jumari. Sikap lemah-lembut beliau terserlah dalam permainan tersebut. Sekalipun bola yang dibaling meluncur ke longkang lorong, beliau hanya tersenyum. Tidak terhambur sepatahpun kata-kata yang tidak sedap untuk didengar. Cara beliau bersalam memberi satu sentuhan yang benar-benar ikhlas. Melalui genggaman tangan beliau kita pasti terasa keikhlasannya. Saya percaya beliau adalah orang yang paling ikhlas yang pernah saya temui.

Pada jam 6.45 pagi 21 Februari 2011 allahyarham telah pergi meninggalkan kita semua untuk menemui Penciptanya akibat kemalangan jalanraya. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga (3) orang anak yang masih bersekolah rendah. Sesungguhnya tidak ada satu kuasa yang dapat menghalang pemergian ini walaupun sedetik. Yang ada pada kita adalah amanah yang perlu kita sempurnakan. Kita telah berjaya melaksanakan amanah ini dengan jayanya. Tepat pada jam 4.00 petang, jenazah beliau selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Felda Jelai 2.

Pengerusi surau merakamkan tahziah kepada seluruh keluarga beliau. Pengerusi dan seluruh AJK surau merakamkan penghargaan kepada Biro Kebajikan di bawah pimpinan Mej. Ibrahim Abu Bakar yang sentiasa berada dari tempat kejadian hinggalah jezanah dikebumikan. Pengerusi dan seluruh AJK juga merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua individu yang terlibat sama ada dari kariah, jiran-jiran terdekat, JPA3, Saksi, PDRM, Hospital Tuanku Jaafar, UKM, Penduduk Jelai 2, dan semua yang dengan ikhlas terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyempurnakan jenazah beliau.

Sesungguhnya pemergian Mohd Yusop bin Jidin adalah satu dugaan ALLAH dan menjadi satu proses kepada Komuniti Surau Impian untuk memantapkan lagi silaturrahim yang telah sedia terjalin. Surau Impian akan mengadakan majlis tahlil untuk allahyarham pada 21, 22, dan 23 Februari 2011 selepas solat Maghrib. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan dan nama Mohd Yusop bin Jidin akan tercatat sebagai salah seorang ahli Jannah.

AL-FATIHAH BUAT MOHD YUSOP BIN JIDIN
29 DIS. 1968 - 21 FEB. 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan